Persiapan SUKSAR IV Berjalan Lancar, Kebajikan Atlet Jadi Keutamaan

KUCHING: Penganjuran Sukan Sarawak (SUKSAR) IV yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 8 Februari 2026 memasuki fasa persiapan rapi dengan penekanan khusus terhadap kebajikan atlet, kelancaran operasi serta koordinasi antara agensi pelaksana.

Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk SUKSAR IV di Bilik Mesyuarat Sukan Malaysia (SUKMA) Bangunan Baitulmakmur lI, pada Khamis yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Pengerusi SUKSAR IV, Dato Gerald Rentap Jabu bagi memperincikan segala gerak kerja sepanjang temasya sukan berkenaan.

Majlis perasmian SUKSAR IV akan diadakan di Betong pada 5 Februari depan, manakala majlis penutupan dijadual berlangsung di Sri Aman pada 8 Februari lepas di mana Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijangka hadir sebagai tetamu kehormat.

Sebanyak 11 sukan akan dipertandingkan sepanjang SUKSAR IV, melibatkan beberapa lokasi pertandingan di Betong dan Sri Aman.

Empat acara akan berlangsung di Betong iaitu angkat berat di Dewan Panglima Rentap, Betong; berbasikal di Medan dan Lebuhraya Pan Borneo Betong; bola jaring di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong dan taekwondo di Dewan SJK (C) Chung Hua, Betong.

Manakala tujuh lagi sukan akan dilangsungkan di Sri Aman iaitu bola keranjang (Mini Stadium Majlis Daerah Sri Aman), karate (Dewan Serbaguna Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman), petanque (Arena Petanque, Kompleks Sukan Sri Aman), ping pong (Dewan Suarah Sri Aman), sepak takraw (Gelanggang Futsal RPR Taman Sentosa Indah), sofbol (Padang Bola Kompleks Sukan Sri Aman) dan tinju (Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman).

Antara fokus utama yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut termasuk pembahagian tugas khas kepada agensi-agensi terlibat dan jawatankuasa berkaitan bagi memastikan pelaksanaan pertandingan berjalan lancar, teratur serta mematuhi garis masa yang ditetapkan.

Aspek peruntukan kewangan turut diberi perhatian, khususnya melibatkan bajet peserta, kebajikan atlet dan petugas, selain keperluan logistik sepanjang SUKSAR IV berlangsung.

Dalam pada itu, penyediaan penginapan yang selesa untuk para atlet turut ditekankan, termasuk usaha menaik taraf kemudahan di lokasi penginapan bagi memastikan keselesaan dan prestasi atlet berada pada tahap optimum.

Penganjuran SUKSAR IV dijangka menjadi platform penting dalam mencungkil bakat sukan tempatan, memperkukuh perpaduan belia serta mengangkat pembangunan sukan berprestasi tinggi di Sarawak.-EDISI UKAS: https://ukas.sarawak.gov.my



Sarawak Sports Corporation